Dari Titiwangsa, Kini Rina Tagih Undi Di Sepang

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada semalam mengumumkan Ketua Wanita Bersatu, Datuk Seri Rina Harun akan bertanding di kerusi Parlimen Sepang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman itu dibuat Presiden Bersatu itu menerusi program Jelajah Prihatin Parlimen Sepang.

“Sah ini presiden (Bersatu) yang bercakap. Rina sudah jadi menteri, saya fikir sudah diterima baik di sini. Wajarlah malam ini saya umumkan,” katanya dalam program yang turut dihadiri Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Untuk rekod, Rina yang juga ketua Wanita Bersatu Sepang pernah mengetuai Puteri Umno Bahagian Sepang sebelum menyertai Bersatu.

Pada PRU14 yang lalu, Rina memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa dengan majoriti 4,139 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Ghani dan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad.

Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan mencalonkan Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah al-Jundi dan Pejuang pula mempertaruhkan Ketua Wanitanya, Che Asmah Ibrahim di kerusi itu, yang dimenangi Hanipa Maidin daripada Amanah pada 2013 dan 2018.

BBerkaitan

Latest articles