JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada mana-mana pihak agar tidak cuba menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan menerusi tekanan politik atau gerakan pengkhianatan, sebaliknya mendapatkan semula mandat rakyat melalui pilihan raya jika benar mahu mencabar kerajaan sedia ada.
Berucap pada Konvensyen PH 2026 di Persada Johor, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan pendekatan kerajaan yang memilih rundingan secara matang dan tertutup dalam menyelesaikan perbezaan pendapat tidak boleh dianggap sebagai tanda kelemahan.
Menurut beliau, pentadbiran Kerajaan Madani sejak lebih tiga tahun lalu sentiasa mengutamakan semangat kerjasama dan tidak pernah mengambil langkah menghasut atau menjatuhkan rakan dalam gabungan kerajaan.
“Kita pilih jalan berhemah, bincang secara baik dan tidak menyerang secara terbuka. Namun jangan sesekali anggap pendekatan ini sebagai lemah,” katanya di hadapan perwakilan yang hadir.
Anwar berkata, sekiranya benar wujud usaha untuk menjatuhkan kerajaan di peringkat negeri, maka mandat perlu diserahkan semula kepada rakyat untuk menentukan pilihan.
“Kalau mahu sangat, kita kembali kepada rakyat. Kita bersedia menghadapi pilihan raya bermula di Johor, Negeri Sembilan malah seluruh negara jika perlu,” katanya.
Beliau turut menegaskan kestabilan politik perlu terus dipertahankan ketika kerajaan sedang memberi fokus kepada agenda pemulihan ekonomi, menarik pelaburan asing serta melaksanakan reformasi institusi.
Dalam ucapannya, Anwar berkata hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan rakan gabungan termasuk Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal dipelihara atas dasar tanggungjawab bersama untuk mentadbir negara mengikut semangat Perlembagaan.
Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan bahawa kerajaan menganaktirikan negeri pembangkang, sebaliknya menegaskan bantuan pembangunan dan kebajikan rakyat terus disalurkan tanpa mengira fahaman politik.
Menyentuh isu antarabangsa, Anwar berkata dunia Islam dan rantau ASEAN kini berhadapan cabaran geopolitik yang semakin meruncing termasuk konflik Palestin serta persaingan kuasa besar dunia yang memberi kesan kepada kestabilan serantau.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan perpaduan nasional supaya Malaysia kekal stabil serta dihormati di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan sentimen perkauman dan agama demi kepentingan politik sempit.
“Tanggungjawab pendidikan Islam bukan mengajar kebencian atau permusuhan antara kaum dan agama,” katanya.
Anwar menegaskan Kerajaan Madani akan terus mempertahankan dasar perpaduan nasional termasuk memartabatkan Bahasa Melayu, menjaga sejarah negara serta menjamin hak seluruh rakyat tanpa menindas mana-mana kaum.










