DAP Persoal Jurang Tarikh PRN N. Sembilan, Johor

SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengkritik keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berasingan dengan Johor, sedangkan kedua-dua negeri itu dibubarkan dalam tempoh masa yang sangat rapat.

​Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) pada asalnya mengharapkan agar PRN bagi kedua-dua negeri berkenaan dapat dijalankan secara serentak bagi memudahkan urusan semua pihak, termasuk pengundi.

​”Kalau ikut harapan kita, sudah tentu kita nak pilihan raya serentak antara Negeri Sembilan dengan Johor. Buatlah hari yang sama.

​”Saya tahu ramai akan tertanya-tanya mengapa SPR buat keputusan begitu. Kita pun tak tahu, saya yakin Perdana Menteri pun tak tahu,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Karisma Arena, Seremban, malam ini

​Mengulas lanjut mengenai keputusan tersebut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan menegaskan bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, SPR diberikan kebebasan sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan politik daripada pihak pemerintah di Putrajaya.

​”Pada hari ini, kerajaan kita ini memberikan kebebasan kepada institusi kita. Walaupun (keputusan) bukan mengikut kehendak parti yang menjadi pemerintah, tetapi inilah institusi negara yang kita berikan kebebasan,” jelasnya.

​Negeri Sembilan sebelum ini membubarkan Dewan Udangan Negeri (DUN) pada 4 Jun, selang tiga hari selepas pembubaran DUN Johor pada 1 Jun.

Bagaimanapun, SPR menetapkan tarikh PRN Johor pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan pula bakal berlangsung pada 1 Ogos.

​​Majlis pelancaran jentera tersebut yang dihadiri Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, barisan pimpinan tertinggi parti komponen, serta jentera pilihan raya negeri.

BBerkaitan

Latest articles