Noorazli Persoal DAP Jadi ‘Hakim’ Keikhlasan Permohonan Maaf

SEPANG: Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, mempersoalkan kewibawaan pemimpin DAP yang mempertikaikan keikhlasan permohonan maafnya berhubung jenaka tidak senonoh membabitkan paderi Katolik dan biarawati.

Beliau menegaskan, tiada pihak berhak menentukan apa yang tersirat dalam hati seseorang, sebaliknya hanya Tuhan mengetahui keikhlasan sebenar manusia.

Noorazli turut mempertahankan pendiriannya bahawa permohonan maaf yang dibuat adalah ikhlas dan tidak pernah bertujuan menghina penganut Kristian, paderi mahupun biarawati.

Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata dirinya terbuka menerima teguran dan mengakui bahawa rujukannya kepada Mazmur 129 dalam Bible adalah tidak tepat.

“Sekiranya apa yang saya sampaikan telah melukakan hati masyarakat Kristian, saya memohon maaf. Itulah pendirian saya,” katanya.

Mengulas kritikan terhadap permohonan maafnya, Noorazli mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan keikhlasan seseorang sebagai bahan penghakiman politik.

Beliau turut memetik beberapa ayat Bible yang menyeru umat manusia berbuat baik, berbelas kasihan dan saling mengampuni.

“Janganlah kita bercakap mengenai kasih dan toleransi pada satu ketika, kemudian apabila seseorang menghulurkan permohonan maaf, kita pula berlumba-lumba menjadi hakim kepada keikhlasan hatinya.

“Kalau setiap permohonan maaf mesti terlebih dahulu melepasi penilaian politik sebelum boleh diterima, sampai bila masyarakat kita mahu berdamai?” katanya.

Noorazli berkata beliau tidak mengharapkan masyarakat melupakan perkara yang berlaku, namun memilih untuk mengambil pengajaran daripadanya dan meneruskan kehidupan dengan menghormati semua agama.

“Saya memilih untuk mengambil pengajaran daripada perkara ini dan bergerak ke hadapan dengan rasa hormat kepada semua agama kerana agama saya mengajarkan kasih sayang, toleransi dan saling memaafkan.

“Dan saya berharap mereka yang mengkritik saya juga bersedia melakukan perkara yang sama,” katanya.

Kontroversi itu tercetus susulan ucapan Noorazli pada Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu, yang mengandungi jenaka berkaitan seorang paderi dan seorang biarawati.

Kenyataannya mengundang kecaman sehingga satu laporan polis dibuat terhadap beliau.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, dan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, turut menggesa Noorazli memohon maaf.

Dalam perkembangan berkaitan semalam, Noorazli pada awalnya menyatakan kesediaan memohon maaf sekiranya ucapannya menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, beliau mengubah hantaran berkenaan dengan menyatakan secara jelas bahawa dirinya memohon maaf.

Perubahan itu turut menjadi sasaran kritikan ADUN Bilut, Lee Chin Chen, yang menyifatkan tawaran untuk memohon maaf jika seseorang berasa tersinggung sebagai berbeza sama sekali daripada permohonan maaf yang sebenar.

BBerkaitan

Latest articles