PUTRAJAYA: DAP menegaskan keputusan untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-16 tidak bermakna parti itu akan menjadi ‘yes man’ kepada kerajaan.
Perwakilan DAP dari Kedah, Lim Hooi Yee berkata, parti itu akan terus bersuara dan menegur kerajaan sekiranya dasar yang dilaksanakan tersasar, termasuk dalam soal integriti tanpa mengira siapa yang terlibat.
Katanya, kedudukan DAP dalam kerajaan penting bagi memastikan parti itu mempunyai ruang di meja pembuat keputusan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat serta memperbetulkan dasar yang dianggap tidak tepat.
“Kalau dasar tersasar, kita tegur. Dalam soal integriti, kita konsisten, tidak kira kawan atau lawan.
“Jangan biarkan parti kita hanya menjadi jurucakap kerajaan kepada rakyat. Tugas kita yang lebih besar adalah menjadi jurucakap rakyat dalam kerajaan,” katanya ketika Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Beliau berkata, DAP tidak seharusnya menghukum keseluruhan Kerajaan Perpaduan hanya disebabkan kekalahan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan keluar kerajaan hanya akan menghilangkan peluang DAP untuk mempengaruhi dasar dan membela kepentingan rakyat dari dalam pentadbiran.
“Kalau kita keluar hari ini, adakah esok semuanya akan menjadi baik? Tidak.
“Kita mungkin mendapat ruang untuk menjerit dan mengkritik, tetapi akan kehilangan ruang paling penting, iaitu kerusi di meja keputusan untuk membela nasib rakyat dan membetulkan dasar yang pincang,” katanya.
Hooi Yee turut mengingatkan bahawa keputusan menarik diri hanya akan memberi kelebihan kepada musuh politik yang didakwa sedang memainkan sentimen kaum dan agama bagi melemahkan DAP serta Kerajaan Perpaduan.
14 pembahas sokong DAP kekal
Dalam persidangan khas itu, kesemua 14 pembahas menyatakan sokongan supaya DAP terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-16.
Pembahas dari Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen pula berkata, DAP tidak seharusnya berundur hanya kerana berdepan kekalahan dalam pilihan raya.
Beliau mengingatkan parti pernah melalui pelbagai fasa sukar sebelum mencapai kejayaan, termasuk di Pulau Pinang.
“Kita adalah satu parti yang pantang undur. Kita akan lawan, tetap lawan,” katanya.
Antara pembahas lain yang menyokong DAP kekal dalam kerajaan ialah Azaha Abdul Rani (Kelantan), Muhammad Shakir Ameer Mohideen (Selangor), Ng Chai Hing (Terengganu), Soo Tien Ren (Sarawak), Jason Ng Thien Yong (Perak), S Mugunthan (Negeri Sembilan), Leong Ngah Ngah (Pahang), Wong Bor Yang (Johor), Sangeet Deo (Kuala Lumpur), Jason Tze-Xi Nathan (Melaka), Chew Chin Lee (Perlis) dan Yap Wui Lip (Sabah).
Persidangan khas itu turut menyaksikan lebih 4,200 perwakilan mengundi bagi menentukan pendirian parti sama ada terus bersama kerajaan atau menarik diri sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Usul berkenaan dibawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).










