KUALA LUMPUR: Seorang warga Filipina yang dipercayai menjadi dalang sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dikesan menempah jet persendirian yang dikaitkan dengan rampasan 521 kilogram (kg) methamphetamine di Laos, kira-kira seminggu sebelum kejadian pada 23 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata tempahan penerbangan itu dibuat dengan sebuah syarikat penerbangan persendirian pada harga AS$49,500 (kira-kira RM209,000).
Menurutnya, syarikat berkenaan dipercayai dimiliki empat individu, terdiri daripada dua juruterbang warga Malaysia dan dua warga Singapura.
Beliau berkata, penerbangan yang ditempah itu adalah bagi laluan Laos-Manila, Filipina, dengan barangan yang diisytiharkan untuk dibawa menggunakan pesawat berkenaan ialah produk vape.
“Maklumat pengisytiharan barangan yang dibawa dalam penerbangan itu diperoleh berdasarkan manifes yang kita dapatkan di Subang serta maklumat daripada pihak berkuasa Laos.
“Kita masih menyiasat sama ada pemilik syarikat ini terbabit dalam sindiket berkenaan atau mereka turut digunakan sindiket,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Hussein berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai identiti warga Filipina yang membuat tempahan itu sebelum berkongsi maklumat berkenaan dengan Philippine Drug Enforcement Agency bagi membantu mengesan individu terbabit.
Siasatan awal mendapati individu berkenaan dipercayai menggunakan perkhidmatan syarikat itu buat kali pertama selepas mendapati tawaran harganya paling rendah bagi laluan penerbangan berkenaan.
Beliau berkata, syarikat itu mempunyai dua syarikat berdaftar di Kemboja, selain beroperasi di Malaysia dengan menempatkan dua jet di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Katanya, syarikat berkenaan memperoleh kelulusan untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan persendirian pada Julai 2026 dan sudah menerima sembilan tempahan setakat ini, dengan penerbangan ke Laos itu merupakan yang kelapan.
Menurutnya, pemilik syarikat berkenaan merupakan juruterbang berpengalaman yang pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat penerbangan sebelum menubuhkan perniagaan sendiri bagi menawarkan perkhidmatan penerbangan komersial persendirian.
Mengulas penahanan pemilik syarikat penerbangan itu, seorang lelaki tempatan, bersama tiga individu lain di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Rabu lalu, Hussein berkata, kesemua mereka sudah dibebaskan selepas keterangan diambil.
Bagaimanapun, polis masih menunggu persetujuan dan pelepasan pihak berkuasa Laos bagi membolehkan pegawai dihantar ke negara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada rakyat Malaysia yang ditahan di sana.
Pada 1 Oktober lalu, media melaporkan pihak berkuasa Laos merampas 521kg kristal methamphetamine yang disimpan dalam 500 bungkusan dari sebuah jet persendirian jenis Learjet yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang dari Subang.
Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Subang ke Luang Prabang tanpa membawa muatan dadah sebelum bahan terlarang berkenaan dimuatkan selepas ketibaannya di Laos, dipercayai untuk diseludup ke Manila.
Susulan rampasan itu, 13 individu termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, penumpang warga Filipina serta kakitangan lapangan terbang dan syarikat perkhidmatan darat ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan.










