TH Beri Tempoh Hingga 2028 Lengkapkan Simpanan Minimum RM15,000

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi tempoh sehingga 31 Disember 2028 kepada pendeposit sedia ada untuk melengkapkan simpanan minimum RM15,000 bagi mengekalkan giliran menunaikan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, syarat itu ditetapkan bagi memastikan bakal jemaah membuat persediaan kewangan lebih awal sebelum menunaikan ibadah berkenaan.

Menurutnya, pengalaman TH sebelum ini menunjukkan ramai bakal jemaah tidak membuat persediaan secukupnya sehingga separuh daripada tawaran haji memohon untuk ditangguhkan.

“Apabila TH mula menetapkan syarat simpanan RM15,000 untuk menerima tawaran haji dan membuat peringatan awal, seawal dua tahun kepada bakal jemaah, kadar penangguhan berjaya dikurangkan mendadak kepada 18 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbuk) mengenai rasional penetapan syarat simpanan minimum berkenaan, jumlah pendeposit yang terkesan serta status giliran haji mereka.

Zulkifli berkata, jumlah minimum RM15,000 itu ditetapkan menerusi inisiatif Seruan Istito’ah, mengambil kira kadar simpanan sama yang ditetapkan bagi jemaah dalam kumpulan B40, berbanding kos haji sebenar sebanyak RM33,300.

Menurutnya, jumlah berkenaan turut menjadi penanda aras kesiapsiagaan kewangan pendeposit menerusi pelan persediaan haji menyeluruh bagi memupuk budaya membuat persediaan lebih awal.

Beliau berkata, daripada 4.1 juta pendeposit yang telah mendaftar haji, sebanyak 80 peratus mempunyai simpanan kurang daripada RM15,000.

Bagaimanapun, katanya, TH tetap mengekalkan prinsip “dahulu didahulukan” dan memberi tempoh lebih dua tahun kepada pendeposit berdaftar untuk meningkatkan simpanan masing-masing.

Langkah itu membolehkan pendeposit melengkapkan simpanan minimum yang ditetapkan sebelum tarikh akhir pada 31 Disember 2028 bagi mengekalkan giliran haji mereka.

BBerkaitan

Latest articles