JOHOR BAHRU: Perasaan dendam selepas cinta ditolak dipercayai menjadi motif pembunuhan pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, yang disyaki dipukul menggunakan sebatang besi sepanjang 96 sentimeter.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat beberapa pukulan, terutama di bahagian kepala, selain kecederaan pada tangan dan beberapa bahagian tubuh lain.
Bagi membantu siasatan, polis merampas sebatang besi sepanjang 96 sentimeter yang dibalut dengan tali leher dan dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.
Polis turut menyita sehelai baju sukan yang mempunyai kesan darah.
“Berdasarkan siasatan terkini, polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa kerana menolak cinta,” katanya pada sidang media di sini.
Ab Rahaman berkata, siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu hampir selesai, dengan kertas siasatan dijadual dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini membenarkan reman suspek, seorang pelajar lelaki, dilanjutkan selama enam hari lagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan.
Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng kira-kira jam 5.30 petang Sabtu lalu.
Mangsa dilaporkan mempunyai kesan darah kering pada badan serta lebam yang dipercayai akibat dipukul. Sebuah pasu yang pecah turut ditemukan berhampiran mangsa.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kumar, mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan trauma akibat objek tumpul pada kepala.










