KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dijangka mengutip hasil sebanyak RM380.8 bilion pada 2027, meningkat 4.7 peratus berbanding unjuran tahun sebelumnya, susulan jangkaan pertumbuhan kutipan cukai.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027 memaklumkan kutipan cukai dijangka mencecah RM297.1 bilion, meningkat 5.8 peratus dan menyumbang 78 peratus daripada keseluruhan hasil negara.
Peningkatan itu dijangka disokong kutipan cukai langsung sebanyak RM199.9 bilion dan cukai tidak langsung RM97.2 bilion, masing-masing meningkat 4.6 peratus dan 8.3 peratus.
Menurut MoF, pertambahan pembayar cukai, pelaksanaan e-Invois serta penguatkuasaan pematuhan cukai yang lebih berkesan antara faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan berkenaan.
Hasil bukan cukai pula diunjur meningkat 1.1 peratus kepada RM83.7 bilion, termasuk sumbangan dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebanyak RM32 bilion.
Secara keseluruhan, hasil berkaitan petroleum dijangka berjumlah RM61.2 bilion, manakala hasil bukan petroleum diunjur meningkat 3.5 peratus kepada RM319.6 bilion.
Bagi 2026, hasil kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM363.6 bilion, meningkat 6.0 peratus berbanding anggaran Belanjawan dan 8.2 peratus lebih tinggi daripada kutipan pada 2025.
MoF berkata peningkatan itu disokong prestasi ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan serta harga minyak mentah dunia yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, sumbangan hasil petroleum pada 2026 dijangka lebih rendah berikutan dividen Petronas yang diunjur sebanyak RM27 bilion, berbanding RM32 bilion pada 2025.










