RAWANG: Alumni Sekolah Kebangsaan Sungai Rawang (SKSR) menerusi Alumni Batch Bersama menyumbangkan empat unit Google TV bernilai RM10,000 bagi membantu meningkatkan kemudahan teknologi pendidikan serta menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah berkenaan.
Pengerusi Alumni SKSR, Zamri Jamaludin berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan bekas pelajar terhadap pembangunan pendidikan dan usaha memastikan hubungan antara alumni dengan pihak sekolah terus diperkukuh.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu guru mempelbagaikan kaedah pengajaran melalui penggunaan bahan visual, video pendidikan, persembahan digital serta sumber pembelajaran yang bersesuaian.
“Kami percaya pendidikan merupakan tanggungjawab bersama. Sebagai alumni, kami ingin terus menyumbang kepada sekolah dan memastikan hubungan antara bekas pelajar dengan pihak sekolah sentiasa erat.
“Kami berharap sumbangan empat unit Google TV ini dapat memberikan manfaat kepada guru dan murid serta membantu meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Simbolik Empat Unit Google TV di surau SKSR pada Khamis.
Zamri berkata, idea menyumbang kemudahan berkenaan tercetus daripada semangat keprihatinan dan tanggungjawab alumni terhadap pembangunan pendidikan di SKSR.
Beliau berkata, pihaknya mahu alumni bukan sekadar menjadi sebahagian daripada sejarah sekolah, malah terus memainkan peranan dalam menyokong keperluan pendidikan generasi akan datang.
Menurutnya, sumbangan itu hasil sokongan Alumni Batch Bersama yang bersama-sama berusaha menyediakan kemudahan pembelajaran lebih baik untuk warga sekolah.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang serta Ahli Jawatankuasa Alumni 2026 yang membantu menjayakan majlis penyerahan simbolik berkenaan.
Katanya, kerjasama sedemikian membuktikan semangat kebersamaan mampu menghasilkan inisiatif bermanfaat demi kepentingan murid dan sekolah.
Mengulas manfaat kemudahan itu, Zamri berharap penggunaan Google TV dapat menjadikan penyampaian ilmu lebih menarik, sekali gus membantu murid memahami sesuatu topik dengan lebih jelas melalui pendekatan pembelajaran interaktif.
Beliau berkata, penentuan lokasi pemasangan dan kaedah penggunaan peralatan berkenaan akan diselaraskan mengikut keperluan serta kesesuaian pihak pengurusan sekolah.
“Kami menyerahkan kepada pihak sekolah untuk menentukan lokasi dan kaedah penggunaan yang paling sesuai supaya kemudahan ini dapat dimanfaatkan secara optimum.
“Perkara paling penting bagi kami ialah memastikan sumbangan yang diberikan benar-benar membawa manfaat kepada murid dan membantu menyokong keperluan pendidikan di SKSR,” katanya.
Mengenai perancangan masa hadapan, Zamri berkata, pihak alumni berharap usaha membantu pembangunan pendidikan di sekolah itu dapat diteruskan berdasarkan keperluan yang dikenal pasti serta kemampuan sumber yang ada.
Beliau turut mengalu-alukan penglibatan lebih ramai bekas pelajar untuk menyumbang mengikut kemampuan masing-masing, sama ada dalam bentuk kepakaran, pengalaman, tenaga mahupun sumbangan material.
Menurutnya, kerjasama antara alumni, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat perlu terus diperkukuh bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada murid.
“Tidak semestinya sumbangan perlu besar dari segi kewangan kerana masa, tenaga, kepakaran dan pengalaman juga merupakan sumbangan yang sangat bernilai.
“Saya menyeru agar lebih ramai bekas pelajar tampil memberikan sokongan kepada sekolah mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Beliau berharap sumbangan berkenaan menjadi amal jariah berpanjangan, memberikan manfaat kepada guru dan murid serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk bersama-sama memajukan pendidikan di SKSR.










