PUTRAJAYA: Harga makanan dijangka mengalami kenaikan pada separuh kedua tahun ini susulan peningkatan kos operasi global termasuk penghantaran, baja serta makanan ternakan yang dipengaruhi krisis tenaga dunia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, lonjakan harga minyak mentah dunia ketika ini memberi tekanan besar kepada rantaian bekalan makanan negara, khususnya sektor penternakan dan perikanan.
Menurut beliau, antara perkara yang paling membimbangkan ialah kenaikan kos bijirin dan soya yang digunakan sebagai bahan utama makanan ternakan ayam.
“Kita menjangkakan akan berlaku perubahan harga dan perkara itu sedang dipantau secara rapi oleh kementerian,” katanya selepas melancarkan Agro Penjaja-i, semalam.
Beliau menjelaskan Malaysia masih bergantung kepada import pelbagai bahan makanan dan pertanian dari luar negara termasuk bijirin ternakan dari Brazil dan Argentina.
Selain itu, bekalan beras negara juga masih diimport dari beberapa negara seperti Pakistan, India dan Bangladesh.
Mohamad berkata, walaupun tiada gangguan besar terhadap proses penghantaran ketika ini, peningkatan harga minyak global tetap memberi kesan kepada kos logistik dan pengeluaran makanan.
“Apabila berlaku krisis tenaga, kos baja dan urea juga meningkat dan ia akhirnya memberi kesan kepada keseluruhan sektor pertanian,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan sebarang perubahan harga dapat ditangani dengan sewajarnya.










