Dakwaan Kerjasama BN-PAS Tak Perlu Dijadikan Isu, Hubungan Kerajaan Perpaduan Kekal Profesional

KULAI: Dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan PAS bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya dijadikan polemik menjelang hari pengundian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sebelum ini menafikan dakwaan berkenaan perlu difahami dalam konteks sebenar dan tidak wajar dimanipulasi.

Menurut Pengerusi BN itu, pendirian Onn Hafiz tidak membawa maksud seperti yang didakwa sesetengah pihak, malah beliau menyifatkan Menteri Besar Johor itu sebagai seorang pemimpin yang berhati-hati, berhemah dan bijaksana dalam mengendalikan isu politik.

“Saya fikir realiti politik perlu diterjemahkan dalam apa juga keadaan. Datuk Onn Hafiz tidak bermaksud demikian.

“Apabila menyebut mengenai sebuah parti lain yang kita tidak bersama dan tidak berhajat membentuk kerajaan dengannya, ia tidak memperlihatkan dasar perkauman kerana parti ialah parti, bukannya bangsa.

“Saya melihat Datuk Onn Hafiz sebagai seorang yang sangat berhati-hati, berhemah dan bijaksana dalam menangani isu. Saya tidak fikir perkara itu perlu dijadikan isu penting hanya beberapa jam sebelum pengundian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Munajat Perdana dan Doa Selamat BN Parlimen Kulai, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa keputusan PRN Johor tidak akan menjejaskan hubungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, meskipun BN dan Pakatan Harapan (PH) bersaing dalam pilihan raya negeri kali ini, hubungan kerja antara menteri serta timbalan menteri daripada kedua-dua gabungan itu kekal profesional.

“Setakat ini, ia tidak mengganggu dan saya mengharapkan keadaan itu akan terus kekal kerana kita ialah menteri dan timbalan menteri yang bekerja secara profesional.

“Mungkin kita berbeza pandangan di Johor dan membangkitkan isu bagi memenangkan calon masing-masing, namun dalam setiap mesyuarat Kabinet kita tetap bermusyawarah dengan hikmah, baik dan profesional,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pemimpin serta penyokong BN dan PH menerima apa juga keputusan PRN Johor dengan sikap matang dan tidak dipengaruhi emosi.

“Saya berharap semua pihak mencontohi sikap pemimpin atasan yang sentiasa mengutamakan profesionalisme walaupun berbeza pendirian politik ketika berkempen,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles