Dakwaan Dipaksa Tandatangan Surat Proklamasi: Kertas Siasatan Dirujuk Kepada AGC

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung dakwaan Datuk Ismail Lasim dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa kerelaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 29 September lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menunggu keputusan serta arahan lanjut daripada AGC berhubung kertas siasatan berkenaan.

Menurutnya, siasatan dijalankan susulan laporan polis yang diterima PDRM berkaitan kes itu, dengan empat individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Pada 29 September 2026, kertas siasatan ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan arahan selanjutnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta status terkini siasatan berhubung laporan polis dibuat Ismail pada 8 September 2026 mengenai dakwaan beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi, selain tindakan terhadap pihak yang terlibat.

Saifuddin Nasution berkata, sebarang tindakan dan siasatan lanjut oleh PDRM tertakluk kepada hasil penelitian serta arahan daripada AGC.

Menurutnya, PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa PDRM akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles