KUALA LUMPUR: Majlis Media Malaysia (MMM) melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya secara bebas serta profesional berteraskan prinsip kawal selia kendiri tanpa campur tangan politik.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MMM ditubuhkan sebagai badan bebas bagi memperkukuh amalan kawal selia kendiri dalam industri media negara.
Menurutnya, penubuhan majlis itu bertujuan memperkukuh pematuhan terhadap kod etika kewartawanan, menyediakan mekanisme aduan awam yang telus dan berkesan serta meningkatkan profesionalisme pengamal media.
“MMM turut berperanan mempertahankan kebebasan media dan hak pengamal media, selain menggalakkan penghasilan laporan serta kandungan media yang sahih, tepat dan beretika,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Tuan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta penjelasan mengenai status pelaksanaan Akta Majlis Media Malaysia 2025, penubuhan MMM termasuk fungsi dan tanggungjawabnya serta bentuk sokongan yang diberikan kerajaan.
Fahmi berkata, Akta Majlis Media Malaysia 2025 [Akta 868] telah diwartakan dan mula berkuat kuasa pada 14 Jun 2025.
Menurutnya, penguatkuasaan akta berkenaan yang diumumkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 merupakan langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus dan ekosistem industri media negara.
Beliau berkata, MMM turut berperanan memperkasa literasi media masyarakat dalam mendepani penyebaran maklumat palsu, kandungan berunsur kebencian serta cabaran teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi menyediakan sokongan perundangan menerusi pewujudan kerangka perundangan khusus bagi menyokong penubuhan dan pengoperasian MMM.
Katanya, sokongan awal turut disediakan bagi pembangunan infrastruktur dan urusan pentadbiran, selain kerjasama dengan agensi berkaitan untuk membangunkan kapasiti serta profesionalisme pengamal media.
“Kerjasama ini termasuk melalui latihan dan pemerkasaan etika kewartawanan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berharap MMM terus memperkukuh ekosistem media negara yang profesional, beretika dan bertanggungjawab, di samping memelihara kebebasan media serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap industri media.










