Langkawi Kekal Pulau Bebas Cukai, Had Pembelian Naik RM10,000

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan status Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) kekal sehingga kini dan tiada sebarang penarikan status itu dibuat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan terus komited mengoptimumkan potensi Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa menerusi pelbagai langkah bagi merancakkan ekonomi setempat.

Menurut beliau, menerusi Belanjawan 2027, kerajaan menaikkan had pembelian barangan bebas cukai bagi pelawat dan pelancong kepada RM10,000, tertakluk kepada tempoh penginapan minimum 48 jam di pulau berkenaan.

Katanya, kemudahan baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027, selain pengemaskinian dan peluasan kategori barangan buatan Langkawi yang layak mendapat pengecualian duti import apabila dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam.

“Kerajaan sentiasa komited dalam usaha mengoptimumkan potensi Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai dan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Peningkatan had amaun ini dilihat mampu menjana pelbagai bentuk pelaburan baharu dan dijangka dapat mentransformasi ekonomi Langkawi,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta penjelasan mengenai perkembangan penelitian terperinci Kementerian Kewangan terhadap cadangan mengembalikan sepenuhnya status keistimewaan Langkawi seperti sebelum ini.

Cadangan itu turut bertujuan menjunjung titah Sultan Kedah serta merancakkan semula ekonomi dan sektor pelancongan pulau berkenaan.

Anwar berkata, sejak Langkawi diisytiharkan sebagai PBC pada 1987, pelbagai kemudahan diperkenalkan bagi merancakkan aktiviti pelancongan dan pembangunan ekonomi setempat.

Bagaimanapun, katanya, kajian terperinci dan pemantauan berterusan dilaksanakan berhubung kemudahan pengecualian duti dan cukai dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan merancakkan ekonomi tempatan dan kawalan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan hasil negara.

Menurutnya, langkah memperketat kemudahan pengecualian duti dan cukai sebelum ini bertujuan memastikan insentif berkenaan kekal selaras dengan objektif asal PBC, iaitu memberi manfaat secara langsung kepada penduduk tempatan serta menyokong sektor pelancongan.

Antara langkah yang diambil termasuk menjadikan rokok dan produk tembakau sebagai barangan bercukai di semua PBC mulai 1 Julai 2021, selain mengehadkan pengecualian duti dan cukai bagi kenderaan kepada nilai tidak melebihi RM300,000 mulai 1 Januari 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM750 juta bagi menyokong persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk pembangunan produk geopelancongan di Kilim Geoforest Park, trail kembara Gua Selat Panchor dan geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark.

Anwar berkata, kenaikan had pembelian barangan bebas cukai kepada RM10,000 meliputi kategori baharu seperti aksesori fesyen, barangan gaya hidup, barangan perhiasan, barangan elektrik dan elektronik serta tekstil, kecuali produk merokok dan kenderaan bermotor.

Beliau berkata, peningkatan had itu dijangka memberi ruang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk berbelanja lebih besar, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada pemilik kedai bebas cukai dan usahawan tempatan.

“Penetapan syarat penginapan minimum selama 48 jam akan merancakkan sektor perhotelan, inap desa, perkhidmatan pengangkutan serta industri makanan dan minuman, sekali gus memastikan manfaat ekonomi dinikmati secara meluas oleh seluruh ekosistem pelancongan pulau berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan menyeru semua pihak, khususnya Lembaga Pembangunan Langkawi, untuk terus memperkembangkan potensi pulau berkenaan sebagai destinasi pelancongan utama negara berasaskan keindahan alam semula jadi, warisan sejarah dan penghasilan produk tempatan berkualiti.

BBerkaitan

Latest articles