66 Usahawan Luar Bandar Berjaya Naik Taraf Perniagaan, 128 Tembusi Pasaran Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Seramai 66 usahawan luar bandar berjaya meningkatkan skala perniagaan daripada kategori mikro kepada kecil menerusi program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan itu melibatkan 54 usahawan menerusi Program Rural Business Challenge (RBC) dan 12 usahawan melalui Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai jumlah usahawan luar bandar yang berjaya meningkatkan skala perniagaan melalui program kementerian serta langkah membantu mereka menembusi pasaran nasional dan eksport.

Menurutnya, KKDW komited memperkukuh ekosistem keusahawanan luar bandar menerusi pendekatan bersepadu merangkumi pembangunan kapasiti dan kompetensi, pembiayaan, pensijilan dan standardisasi produk, pendigitalan serta peluasan akses pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, Program RBC yang dijenamakan semula sebagai Rizq Desa pada 2026 merupakan pertandingan rancangan perniagaan bagi membantu usahawan desa berusia 18 hingga 40 tahun mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.

“Sejak program ini diperkenalkan sehingga 2025, seramai 54 usahawan berjaya melalui proses penskalaan perniagaan daripada kategori mikro kepada kategori kecil.

“Perniagaan mikro ditakrifkan sebagai perniagaan berpendapatan tahunan kurang RM300,000, manakala kategori kecil mencatatkan pendapatan tahunan antara RM300,000 hingga RM15 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, SPED menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan luar bandar dalam bentuk modal pusingan, mesin dan peralatan bagi mengembangkan perniagaan dengan kadar faedah atau keuntungan yang kompetitif.

Beliau berkata, menerusi peruntukan dana pusingan berjumlah RM36.97 juta bagi kohort 2024 hingga 2025, program itu berjaya membantu 12 usahawan beralih daripada kategori mikro kepada kecil.

Mengulas usaha menembusi pasaran eksport, beliau berkata, KKDW turut melaksanakan Program Gate To Global (GTG) bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

“Menerusi program GTG bagi tahun 2025 dan 2026, seramai 128 usahawan berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui penyertaan dalam program seperti Gulfood di Dubai, Foodex Japan, China Food & Drink Fair (CFDF) serta misi perdagangan ke Korea Selatan.

“Inisiatif berkenaan merekodkan transaksi jualan keseluruhan sebanyak RM1.9 bilion,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles