KUALA LUMPUR: Isu kekurangan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka ditangani secara berperingkat dalam tempoh lima tahun menerusi pengisian perjawatan baharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan itu bergantung kepada kelulusan pengukuhan perjawatan, proses pengambilan serta penempatan anggota bagi memastikan keperluan operasi di pintu masuk negara dapat dipenuhi.
Menurutnya, sehingga 23 September 2026, jumlah keseluruhan perjawatan AKPS adalah sebanyak 8,403, namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk membolehkan operasi kawalan di semua 123 pintu masuk negara dilaksanakan secara optimum.
“Justeru, jurang kekuatan akan dikurangkan secara berperingkat selaras dengan pelan pembangunan sumber manusia AKPS,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai tindakan kementerian bagi mengatasi kekurangan anggota AKPS yang ditugaskan mengawal pintu masuk negara serta tempoh penyelesaian isu berkenaan.
Saifuddin berkata, AKPS masih dalam fasa pengukuhan organisasi susulan pengambilalihan fungsi kawalan, pemeriksaan, pelepasan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara secara berperingkat daripada beberapa agensi teras.
Agensi berkenaan ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui AKPS melaksanakan beberapa langkah bagi menangani kekurangan anggota, termasuk mewujudkan dan mengisi perjawatan secara berfasa mengikut keutamaan operasi.
Katanya, tumpuan diberikan kepada pintu masuk berisiko tinggi serta lokasi yang mempunyai jumlah trafik pengembara dan kargo yang tinggi.
Selain itu, rasionalisasi dan pengoptimuman penugasan anggota turut dilaksanakan berdasarkan analisis risiko serta keperluan operasi sebenar bagi memastikan sumber manusia sedia ada digunakan dengan lebih cekap tanpa menjejaskan keselamatan sempadan.
“Kerjasama dan sokongan antara AKPS dengan agensi teras turut diteruskan sepanjang tempoh peralihan, termasuk penyelarasan operasi, perkongsian sumber serta sokongan penguatkuasaan mengikut keperluan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi seperti sistem pemeriksaan dan pengimbasan automatik, auto-gate, kamera litar tertutup (CCTV) pintar, analitik data serta pemprofilan risiko turut dimanfaatkan bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada tenaga manusia.
Dalam usaha memperkukuh keupayaan anggota, AKPS turut melaksanakan latihan silang dan peningkatan kemahiran bagi membolehkan pegawainya menjalankan pelbagai fungsi asas di pintu masuk negara.
Saifuddin berkata, pembangunan sumber manusia juga diperkukuh melalui pelaksanaan skim perkhidmatan AKPS, penyediaan laluan kerjaya lebih jelas, pertukaran pelantikan pegawai sedia ada serta pengambilan baharu secara kontrak, termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).










