Dakwa Berlaku ‘Undi Hantu’ Di DUN Senggarang, Calon PH Desak SPR Siasat

BATU PAHAT: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar mendakwa berlaku insiden disyaki melibatkan ‘undi hantu’ di sebuah pusat mengundi di kawasan berkenaan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Menurut beliau, dakwaan itu timbul selepas seorang pengundi didakwa gagal menunaikan haknya apabila dimaklumkan namanya telah digunakan oleh individu lain untuk mengundi.

Onn berkata, kejadian itu dikesan di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang sekitar jam 10.30 pagi.

Susulan kejadian tersebut, beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat dakwaan berkenaan serta memastikan setiap pengundi berdaftar, khususnya di DUN Senggarang, dapat mengundi tanpa sebarang masalah.

“Saya minta orang ramai keluar mengundi secepat mungkin dan pastikan hak mengundi masing-masing tidak disalahgunakan atau digunakan oleh pihak lain,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengundi lelaki berusia 25 tahun yang mendakwa menjadi mangsa insiden itu telah membuat laporan di Balai Polis Senggarang pada jam 11 pagi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

Pada PRN Johor kali ini, Onn berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi DUN Senggarang, Mohd Yusla Ismail daripada Barisan Nasional (BN), serta Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mewakili Perikatan Nasional (PN-BERSATU).

BBerkaitan

Latest articles