KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun berdepan hukuman mati di Singapura selepas ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup kira-kira 10 kilogram (kg) dadah melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 1 Ogos lalu.
Menurut pihak Berkuasa Pusat Pemeriksaan dan Imigresen Singapura (ICA), kenderaan yang dipandu suspek diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum pegawai menemui sebuah kotak berisi dua bongkah bahan disyaki dadah di dalam but kereta.
Pemeriksaan susulan yang dijalankan oleh pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) kemudian membawa kepada penemuan lebih banyak dadah di lokasi sama.
Rampasan itu membabitkan 8.6kg kanabis dan 1.5kg methamphetamine dengan nilai keseluruhan dianggarkan S$361,000.
Menurut ICA, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu dibekalkan kepada 2,132 penagih selama tempoh seminggu.
Jika disabitkan kesalahan, lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut undang-undang Singapura yang menetapkan hukuman tersebut bagi kes membabitkan lebih 500 gram kanabis atau 250 gram methamphetamine.
Kes itu menambah senarai tangkapan membabitkan rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah di beberapa negara jiran sejak kebelakangan ini.
Minggu lalu, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25kg pil ekstasi.
Dua hari lalu pula, seorang lagi rakyat Malaysia berusia 22 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya kerana didakwa membawa hampir 1kg methamphetamine serta lebih 1,000 biji pil ekstasi.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga lagi rakyat Malaysia kini berdepan pertuduhan di Thailand atas dakwaan memiliki dan mengedar 87kg methamphetamine yang dipercayai mahu diseludup masuk ke Malaysia.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.










