Protes Keputusan Tahanan Rumah Najib Boleh Dianggap Cabar Kuasa Agong – UMNO

KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, boleh ditafsirkan sebagai mencabar kuasa dan kewibawaan Yang di-Pertuan Agong, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Parti itu berpandangan, keputusan pengampunan bersyarat yang membawa kepada pelaksanaan tahanan rumah berkenaan merupakan hak prerogatif Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan wajib dihormati semua pihak.

Menerusi kenyataan media, Ahmad Zahid menegaskan tindakan yang mempunyai unsur protes terhadap keputusan berkenaan, termasuk menjadikannya alasan untuk mengambil sebarang tindakan, tidak seharusnya berlaku kerana boleh membawa maksud mencabar serta menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.

“Sesungguhnya keputusan pengampunan bersyarat yang diberikan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah cerminan kuasa dan hak Perlembagaan Kebawah Duli Tuanku yang wajib dihormati oleh segenap lapisan institusi dan rakyat jelata.

“UMNO berpendirian sebarang perbuatan yang memperlihatkan unsur-unsur protes termasuk menjadikan keputusan pengampunan bersyarat yang dititahkan sebagai alasan sesuatu tindakan diambil, ia boleh membawa maksud kepada mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Tuanku.

“UMNO akan tetap teguh mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Tuanku serta Institusi Raja-Raja Melayu,” demikian memetik kenyataan itu.

Parti itu turut mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berlandaskan undang-undang dan setiap proses berkaitan perundangan perlu dihormati selagi dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan.

Semalam, mahkamah membenarkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Najib dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, malam tadi selepas UMNO melunaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat terhadapnya.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Pada Januari 2024, hukuman penjara 12 tahun terhadapnya dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta menerusi pengampunan diraja.

BBerkaitan

Latest articles