KUALA LUMPUR: Tiada sesiapa boleh menggunakan jasa dan sumbangan masa lalu sebagai perisai untuk mengelak daripada berdepan tindakan undang-undang atas kesalahan rasuah serta penyalahgunaan harta negara.
Itu penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan bahawa kesalahan tetap perlu dipertanggungjawabkan tanpa mengira kedudukan atau sumbangan seseorang kepada negara.
Menurut beliau, menjadikan jasa seseorang sebagai alasan untuk bertolak ansur dengan amalan rasuah merupakan sikap yang bercanggah dengan tuntutan Islam.
“Jasa ratusan tahun sekalipun tidak boleh menjadi alasan untuk kita membiarkan sesiapa menyakau dan merompak harta rakyat dan negara.
“Sikap berkompromi dengan rasuah atas nama jasa ini jauh daripada ajaran Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut memberi amaran bahawa kecenderungan mempertahankan atau membiarkan perbuatan salah atas apa juga alasan hanya akan membawa kerosakan kepada masyarakat.
Justeru, Anwar menggesa mereka yang menentang rasuah supaya tidak sekadar menyatakan bantahan, sebaliknya lebih berani menyuarakan pendirian bahawa individu yang terbabit dalam jenayah itu perlu menerima hukuman setimpal.
“Tolerance for evil inilah yang merosakkan kita. Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa pelaku rasuah tempatnya di penjara,” katanya.
Meskipun tidak menyebut atau menamakan mana-mana pihak, bagaimanapun kenyataan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan polemik pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kembali menjadi perhatian selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya semalam.
Mahkamah membenarkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Najib dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, malam tadi selepas UMNO melunaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat terhadapnya.
Sebelum ini, Anwar menyatakan secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan UMNO membayar denda berkenaan kerana bimbang ia memberi gambaran bahawa kesalahan rasuah berskala besar boleh dipandang ringan atas dasar persahabatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan menghormati hak UMNO membuat pembayaran itu serta proses perundangan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perlembagaan.
Semalam, Anwar turut berkongsi hadis Rasulullah SAW yang menekankan prinsip keadilan tanpa mengira kedudukan, termasuk peringatan mengenai kehancuran umat terdahulu apabila golongan berpengaruh terlepas daripada hukuman sedangkan golongan lemah dikenakan tindakan.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.
Pada Januari 2024, hukuman penjara 12 tahun terhadapnya dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta menerusi pengampunan diraja.










