KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta memberi penjelasan berhubung peningkatan mendadak jumlah pengundi berdaftar di Sabah, demikian gesa Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Malah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu juga berkata, peningkatan mendadak itu meragukan apabila jumlah pengundi berdaftar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti meningkat lebih 50 peratus berbanding pengundi PRU14.
Menurutnya, terdapat peningkatan pengundi bumiputera Islam yang tinggi di kawasan penduduk Kadazan Dusun Murut (KDM) antaranya di Parlimen Penampang dan perkara itu memerlukan penjelasan supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.
“Pertambahan jumlah pengundi yang terlalu tinggi secara tidak langsung memberi kesan terhadap parti politik dalam pilihan raya kali ini (PRU15)…jumlah tersebut amat meragukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan peningkatan mendadak pengundi di Sabah iaitu daripada 1,064,686 orang ketika PRU14 pada 2018 kepada 1,638,806 orang tahun ini untuk PRU15.