Bukan Azizulhasni Sahaja, KBS Yakin Semua Atlet Mampu Buru Emas LA28

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan keyakinan terhadap kemampuan atlet negara untuk merealisasikan impian meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), termasuk pelumba berbasikal trek Datuk Azizulhasni Awang.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata keyakinan itu perlu menjadi asas kepada pelaksanaan program Road to Gold (RTG), dan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada seseorang atlet.

Menurutnya, penetapan sasaran emas Olimpik perlu disertai kepercayaan terhadap keupayaan atlet untuk mencapainya.

“Apabila kita menetapkan sasaran, maka itu ada keyakinan. Tak guna kita ada program Road to Gold tetapi kita tidak yakin.

“Tak guna kita ada pelbagai program yang kita laksanakan tetapi jauh di sudut hati kita rasa tak boleh. Jadi yang penting pertama, yakin dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat Majlis Sukan Negara (MSN) berkaitan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan proses kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028, hari ini.

Taufiq bagaimanapun menegaskan keyakinan semata-mata tidak mencukupi tanpa persiapan rapi serta pelaksanaan yang menyeluruh.

Katanya, prestasi dan kemampuan atlet perlu diterjemahkan melalui tindakan serta persiapan berasaskan perancangan yang jelas.

“Keyakinan itu tak boleh datang dengan hanya kata-kata dan mimpi sahaja. Keyakinan itu mesti datang dengan pelaksanaan aksi yang secara menyeluruh.

“Kalau tanya saya, saya tak nak satu atlet sahaja yang saya yakin, kerana keyakinan dan harapan yang kita letak adalah untuk semua atlet,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Taufiq berkata keputusan KBS dan MSN untuk meneruskan khidmat Azizulhasni bagi misi LA28 dibuat berdasarkan penilaian data dan fakta, bukannya atas faktor emosi.

Katanya, faktor usia pelumba berkenaan yang bakal mencecah 40 tahun ketika temasya itu berlangsung turut diambil kira dalam membuat keputusan.

“Kita buat keputusan tidak berdasarkan emosi. Kita buat keputusan berdasarkan data dan fakta setelah mengambil pertimbangan.

“Saya sangat objektif. Jika perkara ini tidak boleh dilaksanakan, maka kita sebut perkara ini tidak boleh dilaksanakan. Jika ada kemungkinan berdasarkan data dan fakta, maka kita laksanakan perkara tersebut,” katanya.

Taufiq berkata KBS bersama MSN akan terus bergerak secara berpasukan dalam memastikan persiapan atlet negara bagi menghadapi LA28 berada pada landasan terbaik.

“Insya-Allah kita yakin. Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan yang besar,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles