KUALA LUMPUR: Keputusan Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berhubung isu pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai langkah yang terlalu kecil dan sudah terlambat untuk memulihkan imej DAP.
Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, sekiranya DAP benar-benar mahu mengambil pendirian tegas, seluruh barisan Kabinet parti itu sepatutnya meninggalkan kerajaan lebih awal, khususnya selepas Kongres Kebangsaan DAP pada 16 Ogos lalu.
Menurutnya, keputusan Loke seorang diri tidak memadai, malah menimbulkan persoalan terhadap pendirian beberapa pemimpin DAP lain yang sebelum ini pernah menyatakan pendirian tegas mengenai isu pengampunan Najib.
Beliau mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang sebelum ini dilaporkan pernah mengancam untuk meletakkan jawatan sekiranya Najib diberikan pengampunan.
Ramasamy turut membangkitkan kedudukan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh yang merupakan anggota Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, dengan mendakwa pendirian beliau berhubung keputusan tersebut masih tidak jelas kepada umum.
“Jika benar terdapat peletakan jawatan dalam DAP, Kor Ming dan Hannah sepatutnya mendahului senarai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramasamy turut mendakwa tindakan Loke tidak akan banyak mengubah kedudukan politik DAP kerana parti itu, katanya, masih terikat dengan kuasa dan jawatan dalam kerajaan.
Beliau berkata, walaupun berlaku peletakan jawatan di peringkat Persekutuan, negeri atau pihak berkuasa tempatan, DAP tetap berdepan cabaran besar untuk memulihkan semula kedudukan politiknya.










