Fadhli: Tindakan Loke Hanya ‘Lakonan Politik’ DAP

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan DAP susulan keputusan membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman di rumah sebagai sekadar ‘lakonan politik’.

Fadhli mempersoalkan keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, sedangkan menteri dan timbalan menteri daripada parti itu kekal dalam kerajaan.

Menurutnya, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar DAP terhadap keputusan pengampunan berkenaan.

“Kalau seluruh DAP masih kekal dalam kerajaan, apa signifikannya selain satu lakonan politik untuk menunjukkan kononnya mereka membantah?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Loke mengumumkan tawaran peletakan jawatan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Sabtu, dengan menegaskan keputusan berkenaan hanya membabitkan dirinya, manakala wakil DAP lain akan terus berada dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik.

Fadhli turut mempersoalkan gesaan Wanita DAP supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan, dengan membangkitkan kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sebagai anggota lembaga berkenaan.

“Kalau mahu telus, kenapa tidak pernah pula mendesak minit mesyuarat ketika Anwar Ibrahim diberikan pengampunan penuh pada 2018 didedahkan?” katanya.

Hannah dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sememangnya merupakan antara anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Fadhli menegaskan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati secara konsisten dan tidak dijadikan isu mengikut kepentingan politik semasa.

“Janganlah banyak sangat berlakon, nanti salah baca skrip. Rakyat bukan susah sangat nak faham helah politik begini,” katanya.

Keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib diumumkan pada 18 September, yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

BBerkaitan

Latest articles