KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) pernah menerima lima amaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kedudukan kewangannya yang semakin tertekan, termasuk jurang aset dan liabiliti serta risiko membayar agihan keuntungan pada kadar tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata teguran berulang itu dibuat sejak 2014 ketika rizab TH berada pada tahap rendah dan berisiko mencatatkan kedudukan negatif.
Menurutnya, meskipun BNM bukan pihak yang mengawal selia TH, bank pusat berkenaan telah menyuarakan kebimbangan mengenai implikasi pembayaran agihan keuntungan tinggi terhadap kedudukan rizab institusi itu.
“BNM mula menyuarakan kebimbangan sejak 2014 mengenai kesan amalan membayar agihan keuntungan yang tinggi sehingga menyebabkan rizab yang sudah rendah berisiko menjadi negatif,” katanya ketika memberikan penjelasan mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkifli berkata, lima surat peringatan berkenaan masing-masing dihantar kepada Pengerusi TH dan menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama ketika itu.
Katanya, BNM secara jelas memberi peringatan mengenai jurang antara aset dan liabiliti TH yang perlu ditangani segera bagi mengelakkan institusi itu melanggar peruntukan undang-undang.
“Bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali, tetapi lima kali mereka diberi amaran bahawa keadaan itu perlu diperbetulkan segera,” katanya.
Beliau berkata kegagalan mengambil tindakan terhadap amaran berkenaan akhirnya menyumbang kepada kemerosotan kedudukan kewangan TH, dengan defisit aset berbanding liabiliti mencecah lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018.
Keadaan tersebut, katanya, turut meningkatkan risiko berlaku pengeluaran deposit secara besar-besaran, selain usaha menyediakan pembiayaan kecemasan sekiranya berlaku situasi bank run tidak berjaya.
Lebih membimbangkan, keseluruhan deposit TH ketika itu dijamin kerajaan, sekali gus berpotensi mendedahkan kerajaan kepada liabiliti sekitar RM74.5 bilion sekiranya institusi berkenaan mengalami kejatuhan.
Zulkifli turut merujuk penemuan Ketua Audit Negara dalam penyata kewangan TH bagi 2017, termasuk isu perubahan dasar berkaitan kemerosotan nilai.
Katanya, dasar tersebut diubah sebanyak dua kali pada tahun sama dan perubahan berkenaan membolehkan TH melaporkan keuntungan lebih tinggi bagi tahun kewangan 2017.
Selepas pertukaran kerajaan pada 2018, lembaga pengarah baharu TH kemudian melantik firma audit PwC untuk membuat penilaian semula terhadap kedudukan dan prestasi kewangan institusi berkenaan berdasarkan piawaian perakaunan yang berkaitan.
“Hasil semakan mendapati TH berada dalam keadaan kewangan yang kritikal dan keadaan itu mendorong kerajaan melaksanakan pelan penstrukturan semula,” katanya.
Menurut Zulkifli, perkembangan tersebut membuktikan amaran awal mengenai kesihatan kewangan TH bukan perkara remeh, malah kegagalan bertindak boleh memberi implikasi lebih luas terhadap kestabilan kewangan negara.
Beliau berkata, RCI kemudiannya mengemukakan beberapa syor bagi memperkukuh tadbir urus, pelaporan kewangan serta pengurusan pelaburan TH, dengan lebih 75 peratus daripada syor berkaitan kini sudah dilaksanakan.
Dewan Rakyat hari ini mengadakan persidangan khas sehari bagi membincangkan laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH, yang bermula pada jam 10 pagi dengan penjelasan oleh Zulkifli sebelum diteruskan sesi pertanyaan dan perbahasan Ahli Parlimen.
Laporan setebal 211 muka surat yang diterbitkan pada 29 Julai lalu itu meneliti pengurusan serta operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Antara penemuan utama RCI ialah kelemahan dalam aspek tadbir urus, termasuk dakwaan campur tangan politik dalam pengurusan, selain amalan pengagihan keuntungan yang tidak mengambil kira secukupnya faktor susut nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.
RCI turut mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya.










