SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) hanya mengumumkan 25 daripada 36 calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai baki 11 kerusi yang masih belum dimuktamadkan.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang memaklumkan calon bagi kerusi selebihnya akan diumumkan dalam masa terdekat selepas rundingan selesai.
Menurut beliau, baki kerusi berkenaan melibatkan kerjasama dengan “rakan”, namun tidak memperincikan pihak yang dimaksudkan.
“Kita umumkan dahulu 25 calon. Baki 11 kerusi akan diumumkan kemudian selepas dimuktamadkan kerana ia membabitkan kerjasama dengan rakan lain,” katanya ketika mengumumkan senarai calon BN malam ini.
Kenyataan Mohamad itu menguatkan lagi spekulasi mengenai kemungkinan wujud kerjasama pilihan raya antara UMNO dan PAS di Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti bagi PRN Negeri Sembilan sedang berlangsung dalam suasana yang disifatkannya sebagai sangat positif.
Malah, beliau turut menyatakan PAS bersedia menerima calon Menteri Besar daripada UMNO sekiranya persefahaman itu berjaya dimeterai.
Bagaimanapun, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menafikan dakwaan berkenaan dengan menegaskan tiada sebarang perjanjian dimeterai antara UMNO dan PAS bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Menurut Ahmad Zahid, perbincangan yang berlangsung hanyalah berbentuk persefahaman antara parti dan belum pernah dimuktamadkan, termasuk membabitkan pembahagian kerusi.










