JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa gabungan itu bersedia melakukan kerjasama dengan mana-mana pihak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Namun sekiranya keputusan malam ini memihak sepenuhnya kepada BN, beliau berkata kerjasama tidak akan membawa erti lagi bagi gabungan berkenaan.
“Setakat ini kami masih buka pintu dan kita sentiasa berlapang dada, berfikiran terbuka untuk kita bersama dengan mana-mana parti yang didaftarkan.
“Tetapi kalau insya-Allah kita dapat dua pertiga, saya fikir kerjasama tidak bererti,” katanya ketika tiba di pusat gerakan BN di Johor Bahru.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN sedia melakukan perbincangan bertimbang rasa dengan wakil rakyat pembangkang yang menang nanti, seperti peruntukan tertentu.
“Mungkin ada suatu perbincangan perlu diadakan untuk kita turut memberi peruntukan kepada semua Adun di negeri Johor yang dipilih oleh rakyat.
“Dan ini adalah satu penanda aras untuk kita memelihara, bahawa walaupun kita menang dengan majoriti yang baik tetapi kita masih menghargai Adun yang dipilih oleh para pengundi dan rakyat,” katanya.