KUALA LUMPUR: Ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN) terus memuncak apabila Bersatu menegaskan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya membawa isu berbangkit antara kedua-dua parti ke meja rundingan, bukannya membincangkannya secara terbuka.
Biro Politik Bersatu berkata, tiga isu utama yang dibangkitkan PAS wajar diselesaikan menerusi musyawarah dalaman demi menjaga keharmonian hubungan dalam gabungan PN.
Menurut kenyataan itu, penjelasan terbuka dibuat bagi mengelakkan salah faham terhadap Bersatu selepas Abdul Hadi secara terbuka membangkitkan pelbagai percanggahan melibatkan parti tersebut.
Bersatu turut menolak dakwaan kononnya parti itu mengkhianati PAS dalam isu pertukaran Menteri Besar Perlis dengan menegaskan pelantikan tersebut berada di bawah kuasa mutlak Raja Perlis, Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Katanya, kedua-dua presiden parti sebelum ini dijadual menghadap Raja Perlis pada Oktober tahun lalu, namun pertemuan itu dibatalkan selepas Abdul Hadi tidak dapat hadir sebelum baginda menitahkan calon alternatif dikemukakan.
Dalam masa sama, Bersatu menafikan dakwaan bahawa parti itu lemah dari segi kekuatan akar umbi, sebaliknya mendakwa menerima ratusan permohonan ahli baharu setiap hari terutama dalam kalangan anak muda.
Bersatu juga menegaskan segala tindakan disiplin terhadap ahli dibuat mengikut perlembagaan parti dan telah disahkan sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia menerusi surat bertarikh 7 Mei lalu.
Mengulas isu kemasukan parti baharu dalam PN, Bersatu menjelaskan Majlis Tertinggi PN sebelum ini telah mencapai konsensus untuk mengutamakan kerjasama pilihan raya terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan keahlian penuh.
Sehubungan itu, Bersatu melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan terbuka yang dilemparkan dan menegaskan semua keputusan PN sejak era Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat secara konsensus, bukannya melalui kuasa veto mana-mana pihak.










