Anwar Sambut Positif Rundingan AS-Iran, Harap Selat Hormuz Dibuka Semula

KUALA LUMPUR: Di tengah ketegangan geopolitik yang terus memuncak di Asia Barat, Malaysia menyuarakan harapan agar rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran berjaya menghasilkan satu perjanjian rangka kerja inklusif demi menjamin keamanan serantau serta pembukaan semula laluan strategik Selat Hormuz.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan yang sedang dirundingkan itu bukan sahaja penting untuk memperkukuh gencatan senjata sedia ada, malah perlu mengambil kira kepentingan keselamatan semua negara di rantau terbabit.

Menurut beliau, Malaysia menerima petanda positif daripada beberapa pemimpin Asia Barat bahawa rundingan antara Washington dan Tehran kini bergerak ke arah yang lebih progresif, termasuk usaha membuka semula Selat Hormuz yang menjadi laluan perdagangan minyak utama dunia.

“Saya melihat perkembangan ini dengan penuh harapan dan optimis,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap peranan beberapa negara Asia Barat termasuk Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu yang memainkan peranan penting dalam memudah cara proses rundingan tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden Donald Trump dalam usaha mencari penyelesaian menerusi meja rundingan.

“Kami berharap semua pihak dapat memanfaatkan peluang ini dan meneruskan rundingan sehingga mencapai penyelesaian yang berjaya,” katanya lagi.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Trump memberi bayangan bahawa satu perjanjian damai bersama Iran sedang dirangka, termasuk cadangan membuka semula Selat Hormuz yang sebelum ini terjejas akibat ketegangan serantau.

Malaysia, kata Anwar, bersedia menyokong segala usaha pelbagai hala yang mampu membawa keamanan berkekalan dan kestabilan di Asia Barat.

Menurut laporan yang memetik sumber pegawai AS, Washington dan Tehran kini hampir memeterai lanjutan gencatan senjata selama 60 hari yang dijangka membolehkan Iran kembali menjual minyak di pasaran antarabangsa selain membuka ruang rundingan lanjut berkaitan program nuklear negara itu.

BBerkaitan

Latest articles