KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan tindakan menilai semula hubungan dengan Bersatu sebagai langkah normal dalam sesebuah organisasi politik, bukannya petanda berlaku keretakan serius dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, proses kajian semula itu dilakukan bagi meneliti setiap aspek kerjasama antara kedua-dua parti, termasuk mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki atau dikekalkan.
Menurut beliau, ruang refleksi dan konsultasi amat penting untuk memastikan sebarang kelemahan dapat diperbetulkan selain menambah baik hubungan sedia ada.
Katanya, proses muhasabah bukan sesuatu yang luar biasa, malah diamalkan dalam pelbagai dasar dan perancangan kerajaan termasuk kajian separuh penggal bagi Belanjawan dan Rancangan Malaysia (RMK).
“Semakan semula itu amalan biasa. Ia bertujuan melihat aspek positif dan negatif supaya penambahbaikan dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, hubungan antara PAS dan Bersatu kembali menjadi perhatian selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mahu menilai semula kerjasama dengan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Ahli Parlimen Marang berkenaan dikatakan kurang senang dengan beberapa tindakan BERSATU yang didakwa tidak selari dengan semangat setiakawan dalam PN.
Susulan itu, BERSATU tampil mengingatkan PAS supaya tidak mencampuri urusan dalaman parti berhubung isu disiplin dan langkah penstabilan organisasi.
Dalam kenyataan Biro Politiknya, BERSATU menegaskan sebarang isu melibatkan kedua-dua parti seharusnya diselesaikan menerusi saluran dalaman PN dan dibincangkan secara musyawarah bagi mengelakkan salah faham serta persepsi negatif.
Pada masa sama, Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok mempertahankan pendekatan PAS yang menurutnya berpandukan konsep syura dan musyawarah dengan Al-Quran serta Sunnah sebagai asas tertinggi.
Beliau berkata, PAS mempunyai sistem semak dan imbang di semua peringkat termasuk terhadap kepimpinan tertinggi parti.
“Segala keputusan dibuat secara kolektif bermula dari akar umbi hingga ke peringkat pusat dan Majlis Syura, bukannya diputuskan secara individu.
“Itulah yang memastikan PAS sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan terpelihara,” katanya.










