TAIPING: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan Bersatu masih kekal sebagai parti komponen gabungan itu, sekali gus bercanggah dengan pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa keahlian parti berkenaan terhenti secara automatik.
Samsuri berkata, setakat ini tiada perubahan terhadap kedudukan Bersatu dalam PN meskipun timbul pertikaian berhubung hasrat parti itu membentuk gabungan politik baharu.
“Setakat hari ini, mereka (Bersatu) masih lagi ahli dalam PN,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen PAS Perak Ke-23 di Taiping, seperti dipetik Utusan Malaysia.
Kenyataan itu secara tidak langsung memperlihatkan perbezaan pendirian dalam kepemimpinan PN berhubung status Bersatu, selepas Hadi sebelum ini mendakwa parti berkenaan tidak lagi menjadi anggota gabungan itu.
Pada Jumaat lalu, Hadi berkata keahlian Bersatu dalam PN terhenti secara automatik susulan pengumuman parti itu untuk membentuk gabungan politik baharu.
Beliau mendakwa tindakan sesebuah parti menyertai atau menubuhkan blok politik lain dengan sendirinya menyebabkan keahliannya dalam PN gugur, selaras dengan prinsip yang terkandung dalam perlembagaan gabungan berkenaan.
Namun, pendirian itu ditolak Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menegaskan tiada peruntukan dalam perlembagaan PN yang menyatakan keahlian sesebuah parti boleh ditamatkan secara automatik.
Kontroversi itu turut mendorong Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, memaklumkan bahawa parti berkenaan sedang mempertimbangkan tindakan membawa isu status keahliannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Mengulas langkah tersebut, Samsuri berkata Bersatu mempunyai hak untuk mengambil apa juga tindakan yang difikirkan wajar bagi menentukan kedudukan mereka dalam PN.
“Bersatu berhak mengambil apa juga langkah yang mereka fikirkan sesuai,” katanya.










