Bersatu Berdepan Gelombang Peletakan Jawatan, Muhyiddin Tegas Parti Masih Kukuh

MUAR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu kekal utuh dan tidak terjejas meskipun beberapa pemimpin kanan mengambil keputusan melepaskan jawatan dalam kepimpinan tertinggi parti sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, peletakan jawatan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), termasuk Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, tidak bermakna mereka meninggalkan Bersatu kerana kesemuanya masih kekal sebagai ahli parti.

“Insya-Allah (Bersatu kekal kukuh),” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Muhyiddin bagaimanapun berkata beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut berhubung perkembangan itu sehingga memperoleh laporan lengkap mengenai kedudukan sebenar.

Beliau turut menegaskan bahawa isu membabitkan pengurusan dan kepimpinan parti akan diselesaikan menerusi saluran dalaman, bukannya dibahaskan secara terbuka.

“Setakat ini mereka meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, tetapi masih lagi ahli Bersatu.

“Saya akan dapatkan laporan lengkap mengenai kedudukan sebenar. Hal dalaman parti saya tidak akan bincangkan secara terbuka,” katanya.

Sebelum ini, Abu Bakar mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ahli MPT Bersatu bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

Langkah sama turut diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena yang juga Exco Kerajaan Negeri Perlis, Marzita Mansor, apabila menyerahkan surat peletakan jawatan daripada MPT minggu lalu.

Abu Bakar menjelaskan keputusan itu dibuat berikutan kekangan masa untuk menghadiri mesyuarat di peringkat pusat selain mahu memberi fokus kepada usaha membangunkan Perlis memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan negeri berbaki kira-kira setahun.

Dalam perkembangan berasingan, Setiausaha Bersatu Perlis yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Azahar Hassan, mengumumkan keluar daripada Bersatu dan melepaskan semua jawatan dalam parti berkuat kuasa serta-merta.

Terbaharu, Bersatu Bahagian Tenggara dilaporkan dibubarkan selepas kira-kira 40 pemimpinnya bertindak meletakkan jawatan dan keluar parti, sekali gus menambah lagi tekanan terhadap kepimpinan Bersatu menjelang landskap politik yang semakin mencabar.

BBerkaitan

Latest articles