Belum Ada Niat Lepaskan Bagan Datuk, Kata Ahmad Zahid

KUALA BERANG: Spekulasi mengatakan beliau tidak lagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU15 November depan, dinafikan sendiri oleh Presiden UMNO itu sendiri.

Tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sehingga ke hari ini, beliau belum terfikir untuk melakukan perkara seperti yang hangat diuar-uarkan ketika ini.

“Saya tidak tahu di mana punca dan sumber yang menulis begitu, saya fikir eloklah kita tanya kepada orang itu dan saya belum terniat pun untuk melakukan yang sedemikian (meninggalkan kerusi Bagan Datuk),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Terengganu bagi PRU15 di Akademi Binaan Malaysia di Jenagor, semalam.

Apa yang penting ketika ini adalah, BN mesti mengetengahkan calon yang mampu memberi kemenangan untuk pembentukan kerajaan, ujar Ahmad Zahid lagi.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, BN akan memuktamadkan senarai akhir calon yang akan bertanding pada PRU15 ini, antara tiga hingga lima hari sebelum hari penamaan calon 5 November ini.

Beliau juga berkata, memandangkan BN akan mengemukakan 70 peratus calon baharu pada pilihan raya ini, beliau bersama pucuk pimpinan BN mengharapkan muka lama yang tidak terpilih kali ini akan menjadi mentor kepada calon baharu.

Terdahulu dalam ucapannya pada program tersebut, Ahmad Zahid berkata, meskipun BN Terengganu menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya empat kerusi parlimen, namun pimpinan di peringkat pusat mahu jumlah kemenangan lebih daripada itu.

Katanya, perkara itu tidak mustahil, memandangkan BN sebelum ini pernah berjaya menakluk Terengganu dan seterusnya berjaya menjadi kerajaan negeri.

BBerkaitan

Latest articles