KOTA BHARU: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menerima suntikan keyakinan apabila beberapa bekas pegawai kanan kerajaan dan penjawat awam tampil menawarkan diri untuk bertanding mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pemimpin utama BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, nama-nama yang menyatakan minat untuk menjadi calon akan melalui proses pemilihan sebelum senarai rasmi diumumkan pada malam Jumaat ini bersama seorang lagi peneraju parti, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut beliau, perkembangan itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak dijangka apabila bukan sahaja bekas pegawai tinggi kerajaan menunjukkan minat, malah terdapat penjawat awam yang masih berkhidmat tampil memohon menjadi ahli parti.
Katanya, majoriti mereka terdiri daripada orang Melayu, sekali gus menangkis persepsi bahawa BERSAMA hanya bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu.
“Antara perkara yang mengejutkan kami ialah sambutan yang sangat baik daripada pengundi Melayu, khususnya golongan profesional, intelektual serta bekas dan pegawai kanan kerajaan.
“Malah ada yang secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi calon. Nama mereka kini berada dalam senarai pertimbangan dan akan melalui proses penilaian sebelum diputuskan kawasan yang sesuai untuk ditandingi sekiranya dipilih,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Jelajah Kancil Kelantan di PCB Resort, malam tadi.
Rafizi berkata, pendekatan BERSAMA yang memberi tumpuan kepada isu rakyat, integriti dan kepimpinan masa depan menjadi antara faktor yang menarik minat golongan berpengalaman untuk menyertai parti itu.
Beliau turut mengakui terharu dengan kesediaan individu berprofil tinggi untuk bersama BERSAMA, walaupun lazimnya tokoh berpengaruh memilih menyertai parti-parti politik yang lebih besar dan mapan.
“Apa yang penting, mereka datang sendiri menawarkan khidmat dan menunjukkan keyakinan terhadap perjuangan parti. Ini menunjukkan wujud keserasian antara mereka dengan hala tuju yang dibawa BERSAMA,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan, Rafizi memaklumkan bahawa senarai kerusi dan calon telah pun disenarai pendek, namun fokus utama parti ketika ini adalah memastikan gerak kerja menghadapi PRN Johor berjalan lancar terlebih dahulu.










