Bekas 4 Undang, Pemimpin Adat Fail Saman

SEREMBAN: Kemelut melibatkan institusi adat Negeri Sembilan terus berlarutan apabila sekumpulan pemimpin adat termasuk bekas Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Dohak, mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan yang membawa kepada penyingkirannya.

Mubarak bersama beberapa lagi tokoh adat iaitu Undang Jelebu Maarof Mat Rashad, Undang Johol Muhammad Abdullah, Undang Rembau Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri serta Datuk Shahbandar Sungai Ujong Badarudin Abdul Khalid memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Seremban semalam.

Tindakan itu dibuat bagi menuntut penggantungan keputusan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu, selain memohon akses kepada minit penuh mesyuarat berkenaan.

Dalam saman tersebut, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin dinamakan sebagai defendan pertama, diikuti DKU dan kerajaan Negeri Sembilan masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Plaintif turut memohon mahkamah mengisytiharkan hak mereka untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat khas yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti itu, selain menuntut supaya dokumen berkenaan diserahkan dalam tempoh tujuh hari sekiranya perintah dikeluarkan.

Malah, mereka juga mahu mahkamah menangguhkan sebarang pelaksanaan keputusan mesyuarat tersebut sehingga minit rasmi diserahkan kepada pihak mereka.

Permohonan itu dijadualkan didengar pada 13 Mei ini, jam 9 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban.

Krisis ini tercetus susulan keputusan DKU pada 17 April lalu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang menerima pemberhentian Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong atas dakwaan melanggar adat serta hukum syarak.

Namun, tindakan itu mengundang reaksi apabila dua hari kemudian, sekumpulan undang termasuk Mubarak mengumumkan pengisytiharan untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada kedudukannya.

Kerajaan negeri bagaimanapun menolak pengisytiharan tersebut dengan menegaskan bahawa Mubarak telah pun dilucutkan jawatan lebih awal, sekali gus menafikan kesahihan tindakan berkenaan.

Pergolakan ini turut memberi kesan kepada landskap politik negeri apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) UMNO bertindak menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April lalu.

Langkah itu dilihat berkait rapat dengan ketegangan yang melibatkan institusi perlembagaan negeri.

Dalam perkembangan terbaharu, Majlis Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong mengumumkan pelantikan Faris Johari, 28, sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baharu, menjadikannya individu ke-11 memegang jawatan tersebut.

Bagaimanapun, pelantikan itu terus dipertikaikan apabila sekumpulan Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong mendakwa ia tidak sah serta bertentangan dengan aturan adat yang diamalkan.

BBerkaitan

Latest articles