KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador hari ini tampil menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan kegiatan mencuri dan pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit di luar negara.
Penafian itu dibuat susulan penyebaran beberapa laporan media dan rakaman video yang mendakwa beliau terbabit dalam aktiviti berkenaan di beberapa negara termasuk Turkiye dan Afrika.
Farhash turut menolak dakwaan kononnya beliau kini merupakan seorang warga Turkiye, sambil menegaskan segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah tidak benar serta bersifat fitnah.
“Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut. Dakwaan ini tidak berasas dan jelas bertujuan mencemarkan reputasi serta integriti saya, selain memberi kesan terhadap kehidupan peribadi dan urusan perniagaan saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dirinya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak lagi aktif dalam politik ketika ini.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti didakwa, selain tidak mempunyai sebarang akaun bank di Turkiye.
“Saya bukan seorang warga Turkiye dan saya langsung tidak mengetahui mengapa nama saya dikaitkan dalam perkara ini, melainkan terdapat pihak tertentu yang mempunyai kepentingan lain termasuk motif politik,” katanya.
Farhash berkata, penyebaran rakaman video dan dakwaan berkenaan dipandang serius kerana dilakukan secara berniat jahat serta berpotensi melanggar undang-undang.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa peguamnya telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah berkenaan bagi melindungi nama baik serta kepentingannya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan telus.










