Azam Sifatkan Persaraannya Sebagai Bersara Permulaan Baharu

BANGI: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan persaraan bukanlah titik akhir dalam kehidupan, sebaliknya satu fasa baharu yang membuka lembaran berbeza untuk diterokai.

Menjelang tamat perkhidmatannya kira-kira seminggu lagi, Azam menegaskan bahawa pesara sektor awam tetap memainkan peranan penting sebagai aset negara, hasil pengalaman dan sumbangan yang tidak ternilai sepanjang tempoh berkhidmat.

Menurut beliau, jasa golongan pesara tidak terhenti setakat hari terakhir di pejabat, malah terus dikenang dan memberi impak berpanjangan.

“Gunakan peluang ini untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Kekalkan gaya hidup aktif dan sihat, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental serta emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi SPRM 2026 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre, semalam.

Azam dijadualkan menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei ini selepas menerajui SPRM sejak Mac 2020.

Jawatan itu bakal disandang oleh bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman bermula 13 Mei.

Dalam ucapannya, Azam turut menjelaskan bahawa majlis bertemakan “Integriti Dijunjung, Budi Disanjung” itu diadakan sebagai tanda penghargaan tertinggi kepada warga kerja yang telah mencurahkan bakti dalam menjaga integriti organisasi serta kepentingan negara.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan atas dedikasi dan komitmen sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama agensi tersebut.

Sementara itu, wakil pesara SPRM, Zainol Darus turut meluahkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan seluruh warga kerja atas tunjuk ajar serta sokongan yang diberikan sepanjang mereka berkhidmat.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 36 daripada keseluruhan 51 pesara dan bakal pesara SPRM tahun ini diraikan dalam suasana penuh penghormatan dan penghargaan.

BBerkaitan

Latest articles