KUCHING: Kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api bagi sektor tenaga negara masih berada pada tahap selamat meskipun ketegangan geopolitik di Selat Hormuz terus menjadi perhatian dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan sebarang risiko terhadap rantaian bekalan tenaga dapat ditangani lebih awal.
Menurut beliau, Malaysia setakat ini tidak berdepan sebarang gangguan bekalan hasil langkah proaktif yang dilaksanakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi rundingan di pelbagai peringkat.
“Kita melalui Petronas telah mengadakan rundingan, manakala Perdana Menteri turut mengadakan perbincangan di pelbagai negara bagi memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin,” katanya selepas merasmikan Majlis Penangguhan Regatta 2026 di Jeti Utama Kampung Sejijak, di sini.
Bagaimanapun, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, ketidaktentuan harga minyak dan gas di pasaran global akibat konflik geopolitik kekal menjadi cabaran utama kepada ekonomi negara.
Beliau menjelaskan, walaupun bekalan tenaga masih stabil, turun naik harga komoditi berkenaan boleh memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara.
“Bekalan memang terjamin, namun dari sudut harga ia merupakan cabaran kerana volatiliti pasaran minyak dan gas sudah tentu memberi impak kepada negara,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu turut meningkatkan tekanan terhadap kewangan kerajaan yang pada masa sama masih komited meneruskan pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kepada rakyat.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus merancang strategi bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan tanpa menjejaskan usaha membantu rakyat.
“Ini antara cabaran yang perlu kita tangani dan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada perancangan kewangan yang mampan supaya bantuan kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya.










