KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api negara ketika ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan domestik sekurang-kurangnya sehingga Ogos depan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, selain bahan api, stok penimbal beras negara juga dilaporkan berada pada tahap stabil dan mampu bertahan bagi tempoh antara lima hingga enam bulan.
Bagi bekalan makanan asas lain seperti ayam, telur, ikan, susu dan buah-buahan, beliau mengesahkan ia mencukupi bagi tempoh sekurang-kurangnya sebulan.
”Justeru, kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan bahan api terus terjamin supaya aktiviti harian rakyat, pengangkutan awam, logistik, perniagaan dan sektor kritikal dapat terus beroperasi,” katanya pada sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut Akmal Nasrullah, pemantauan harga barangan keperluan mengikut lokasi turut dipergiat menerusi platform PriceCatcher Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), membabitkan 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis runcit seluruh negara dengan sokongan 850 pegawai pemantau.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menegaskan, tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pencatutan dan penyeludupan juga dipertingkatkan bagi mengelakkan tekanan global dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.
Mengulas mengenai pelan jangka masa sederhana dan panjang, Akmal Nasrullah menjelaskan kerajaan komited untuk menstrukturkan semula ekonomi negara melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mendepani cabaran global akan datang.
Kata beliau, RMK13 akan memberikan keutamaan kepada pengukuhan rantaian bekalan domestik, peningkatan kapasiti agromakanan, kepelbagaian sumber import serta pengurangan kebergantungan kepada input kritikal dari luar negara.
”Dari sudut tenaga, RMK13 akan meneruskan agenda peralihan, perluasan tenaga boleh baharu dan penggunaan sumber domestik dengan lebih strategik.
”Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional terus diperkukuh dengan tumpuan kepada enam bidang utama,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) juga akan membantu memacu penciptaan produk serta perkhidmatan domestik bernilai tinggi bagi memastikan negara tidak hanya bergantung kepada satu sumber atau pasaran sahaja.










