KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 projek telah dibangunkan di bawah Inisiatif Bandar Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar dan kesejahteraan rakyat.
Kementerian Digital akan membangunkan platform data bersepadu yang merangkumi AI Algorithm Bank dan AI Marketplace bagi membolehkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkongsi teknologi serta penyelesaian AI yang terbukti berkesan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pendekatan itu penting bagi mengelakkan pertindihan projek serta pembangunan teknologi secara berasingan antara bandar di seluruh negara.
“Inisiatif Bandar AI bukan bermaksud kesemua 156 PBT seluruh negara perlu membangunkan sistem AI mereka tersendiri.
“Ini bagi memastikan bahawa teknologi, data dan penyelesaian yang terbukti berkesan dapat dimanfaatkan secara bersama bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan transformasi ke arah Negara AI 2030,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme pelaksanaan Inisiatif Bandar AI dalam memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk langkah mengelakkan pertindihan projek serta usaha menghidupkan semula bandar lama seperti Muar.
Menurut Gobind, Inisiatif Bandar AI dikenal pasti sebagai antara pemangkin utama di bawah Pelan Tindakan AI Negara 2026–2030 yang diterajui AI Malaysia, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030.
Katanya, inisiatif itu memperkukuh Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia sedia ada melalui integrasi AI, data dan infrastruktur digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar.
Beliau berkata, sembilan PBT terpilih kini dijadikan makmal hidup dan tapak pengujian bagi membangunkan aplikasi AI yang dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.
PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Ipoh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Perbadanan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Perbandaran Jasin, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Shah Alam.
Gobind berkata, pelaksanaan teknologi AI sudah menunjukkan hasil positif di beberapa bandar, termasuk pengurangan kesesakan lalu lintas dan peningkatan kelancaran pergerakan kenderaan.
“Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah mencatatkan pengurangan kadar kesesakan lalu lintas sebanyak 10 hingga 15 peratus hasil penggunaan teknologi AI dalam sistem AI-Powered Traffic Management.
“Majlis Bandaraya Ipoh pula telah meningkatkan kelancaran trafik di kawasan sesak bandar raya itu daripada dua minit kepada 40 saat melalui penyelarasan fasa lampu hijau,” katanya.
Selain itu, Perbadanan Putrajaya melaksanakan projek pengangkutan autonomi berasaskan rangkaian 5G yang ketika ini sedang beroperasi dan boleh dinaiki orang awam.
Majlis Bandaraya Johor Bahru pula melaksanakan sistem pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) pintar berasaskan AI bagi membantu meningkatkan keselamatan bandar, termasuk menyokong siasatan kes jenayah dan kemalangan jalan raya.
Menurut Gobind, kerajaan turut memperkukuh pelaksanaan projek individu kepada ekosistem Bandar AI bersepadu menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan dan seluruh negara.
Katanya, Kementerian Digital bertindak sebagai penyelaras utama, manakala Pasukan Petugas Bandar AI ditubuhkan pada Ogos 2026 dengan melibatkan kementerian serta agensi berkaitan.
“Perancangan dan pelaksanaan Bandar AI akan diselaraskan di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut mempertimbangkan penubuhan Pusat Kawalan Nasional atau National Command Centre (NCC) bagi membolehkan situasi di seluruh negara dipantau menerusi satu paparan bersepadu.
Melalui penggunaan analitik AI dan teknologi Digital Twin, data daripada pelbagai agensi dapat dimanfaatkan untuk meramal risiko, menguji senario dan menyokong tindakan awal.
Mengulas potensi pelaksanaan inisiatif itu di Muar, Gobind berkata, Majlis Perbandaran Muar (MPM) telah menerima pengiktirafan Tahap 1: Smart City Early Adopter di bawah Program Penarafan Bandar Pintar Malaysia oleh PLANMalaysia.
Menurutnya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan MPM termasuk Smart Command Centre, pengurusan sisa pintar, sistem aduan awam digital, pencahayaan dan keselamatan berasaskan Internet Kebendaan (IoT), serta aplikasi pelesenan dan perkhidmatan PBT.
“Justeru, Inisiatif Bandar AI berpotensi memberikan nafas baharu kepada Muar dengan meningkatkan keupayaan sistem sedia ada secara berfasa, tertakluk kepada keperluan setempat, kesiapsiagaan data dan kerjasama Kerajaan Negeri serta PBT,” katanya.
Tambah beliau, prinsip ‘Build Once, Reuse and Scale’ akan membolehkan aplikasi serta penyelesaian AI bandar digunakan semula mengikut keperluan setempat, sekali gus mempercepat penerimaan teknologi berkenaan dengan kos yang lebih cekap.










