KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pengesanan aliran wang serta pindahan bank milik syarikat Al-Rawda Investment for Real Estate Development and Project Management Ltd bagi mendapatkan semula hutang pelaburan pajakan hotel di Makkah dan Madinah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkaitan di Arab Saudi selepas syarikat berkenaan gagal mematuhi perjanjian pembayaran yang dipersetujui.
Beliau berkata, prosiding timbang tara yang dimulakan Al-Rawda terhadap TH pada 2021 berakhir dengan keputusan yang mengarahkan syarikat itu membayar 899 juta riyal Saudi (SAR) kepada TH.
“TH dan Al-Rawda telah menandatangani Perjanjian Penyelesaian pada 27 November 2024 berkenaan cara pembayaran award timbang tara sebanyak SAR899 juta tersebut.
“Al-Rawda hanya berjaya membayar sebahagian daripada jumlah award tersebut iaitu sebanyak SAR14.9 juta, tetapi masih gagal mematuhi terma Perjanjian Penyelesaian walaupun tempoh lanjutan telah diberikan oleh TH,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah berkesan kerajaan untuk mendapatkan semula wang pelaburan pajakan Hotel Ar-Raudah di Makkah yang mengalami kerugian seperti didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji.
Zulkifli berkata, perjanjian antara TH dengan Al-Rawda yang dimeterai dari 2014 hingga 2017 merupakan sebahagian daripada pelaburan pajakan legasi apabila TH memajak empat rangkaian hotel di Makkah dan Madinah untuk tempoh jangka panjang.
Menurut beliau, TH telah mengambil tindakan undang-undang dan prosiding penguatkuasaan di mahkamah Arab Saudi berhubung nota janji yang dikeluarkan Al-Rawda dan dijamin sendiri oleh pemilik syarikat itu selepas kegagalan membuat bayaran mengikut perjanjian dalam tempoh yang lama.
Bagaimanapun, Perjanjian Penyelesaian yang dimeterai pada November 2024 ditamatkan pada 15 Januari 2025 susulan kegagalan Al-Rawda memenuhi terma pembayaran walaupun tempoh lanjutan diberikan.
Beliau berkata, pada September 2025, TH turut mengemukakan surat aduan berhubung kegagalan syarikat itu kepada Gabenor Makkah.
“TH memandang serius berkaitan perkara ini dan komited dalam menjaga kemampanan portfolio pelaburan berasaskan tahap toleransi risiko yang bersesuaian,” katanya.










