Malaysia Teliti Pengalaman India Perkukuh Sekuriti Makanan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti amalan terbaik beberapa negara termasuk India dalam usaha memperkukuh sistem keterjaminan makanan negara, khususnya berkaitan stok penimbal, pengagihan dan rantaian bekalan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu turut diambil ketika kerajaan sedang menggubal Akta Keterjaminan Makanan Kebangsaan bagi memastikan dasar berkaitan lebih menyeluruh.

Menurutnya, usaha memelihara keterjaminan makanan negara berdepan pelbagai cabaran termasuk gangguan rantaian bekalan global, perubahan iklim dan ketidaktentuan dasar perdagangan antarabangsa.

“Bagi memastikan bekalan kekal stabil, negara perlu mengimbangi antara galakan pengeluaran tempatan dan kebergantungan kepada import makanan.

“Selain itu, cabaran geopolitik global turut memberi kesan kepada kos input pertanian, khususnya harga baja dan makanan ternakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang meminta penjelasan mengenai kelemahan utama sistem keterjaminan makanan negara sehingga mendorong kerajaan mempelajari pengalaman India, termasuk dalam aspek stok penimbal, pengagihan dan rantaian bekalan serta sasaran pembaikan yang ingin dicapai.

Mohamad berkata, cabaran berkenaan menuntut pendekatan dasar yang komprehensif, merangkumi pemberian insentif, perdagangan antarabangsa, pengukuhan pengeluaran tempatan, penyelidikan dan pembangunan serta penggunaan teknologi termaju.

Katanya, usaha itu turut melibatkan penyediaan stok penimbal, penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), selain penerapan amalan pertanian mampan.

Menurutnya, kerajaan ketika ini merancang keterjaminan makanan melalui beberapa dasar utama, termasuk Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).

Beliau berkata, DKMN 2030 yang dilancarkan pada 29 Januari 2026 memperkenalkan enam dimensi utama, iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan, kestabilan, agensi dan kemampanan.

“Enam dimensi ini diperkenalkan bagi memastikan ketersediaan makanan yang selamat, berkhasiat dan mampu dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Mohamad menjelaskan, keterjaminan makanan di peringkat antarabangsa ditakrifkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pada 2002 sebagai keadaan apabila setiap individu sentiasa mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan mencukupi, selamat serta berkhasiat bagi memenuhi keperluan diet yang sihat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan terus terbuka menerima pandangan membina serta mempelajari amalan terbaik negara lain dalam memperkukuh sistem keterjaminan makanan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu dan kekal bersikap terbuka dalam menerima pandangan-pandangan yang konstruktif termasuk amalan terbaik negara jiran dan serantau,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles