PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan butiran lanjut persiapan parti itu dijangka diumumkan pada 29 Oktober ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan sedang dilakukan, namun beliau belum mendedahkan kawasan yang bakal ditandingi atau senarai calon.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat parti itu, di sini, malam tadi.
Menurut Muhyiddin, mesyuarat turut membincangkan isu semasa, usaha memperkukuh parti serta persiapan menghadapi persidangan bahagian yang akan bermula tidak lama lagi.
MPT Bersatu juga meneliti perancangan mengadakan Perhimpunan Agung parti itu pada penghujung Januari tahun depan.










