Azmin Yakin Bersatu Mampu Cipta Kejutan Di Johor, Tak Gentar Hadapi PRN

MUAR: Jentera dan ahli Bersatu diingatkan agar tidak mudah berasa gentar atau pesimis menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya perlu tampil penuh yakin untuk mencipta kemenangan serta kejutan di medan pilihan raya itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu mempunyai asas yang kukuh untuk bersaing kerana dipimpin oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang disifatkan memiliki rekod kepimpinan terbukti serta mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, pengalaman Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri, khususnya dalam mengendalikan krisis kesihatan negara sebelum ini, menjadi antara kekuatan utama yang boleh dijadikan sandaran oleh parti dalam meraih sokongan rakyat.

“Tan Sri Muhyiddin merupakan pemimpin yang telah melalui pelbagai cabaran dan membuktikan keupayaannya. Beliau dikenali sebagai tokoh yang mengamalkan pendekatan sederhana serta sentiasa menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN Johor Ke-16 di Bakri, malam tadi.

Azmin turut mendakwa kelebihan yang dimiliki Muhyiddin menyebabkan ada pihak tertentu berasa kurang senang terhadap pengaruh dan penerimaan rakyat terhadap pemimpin berkenaan.

Beliau berkata, selain pengalaman luas dalam pentadbiran negara, faktor Muhyiddin yang merupakan anak kelahiran Johor juga memberikan nilai tambah kepada Bersatu dalam menghadapi persaingan pada PRN akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, menyeru seluruh ahli dan jentera parti supaya terus menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan serta memberikan sokongan penuh kepada calon-calon yang bakal dipilih untuk bertanding.

Bekas Menteri Besar Johor itu optimis Bersatu mampu mencapai keputusan memberangsangkan sekiranya seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan dan memperkukuhkan hubungan dengan pengundi di setiap kawasan.

Beliau menegaskan pendekatan turun padang serta menyantuni rakyat secara berterusan perlu dijadikan keutamaan bagi memastikan mesej dan perjuangan parti dapat disampaikan dengan lebih berkesan sepanjang kempen PRN Johor nanti.

BBerkaitan

Latest articles