AUKU Dimansuh, RUU Baharu Tidak Usik Mahasiswa – Fahmi

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bakal memberikan tumpuan utama kepada aspek pentadbiran dan pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan hasrat kerajaan itu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Menurut beliau, sekiranya satu rang undang-undang (RUU) baharu digubal bagi menggantikan AUKU, ia tidak perlu memasukkan elemen yang melibatkan mahasiswa kerana sudah tertakluk di bawah undang-undang sedia ada.

“Perdana Menteri telah menegaskan bahawa ada beberapa perkara walaupun sekiranya perlu diwujudkan atau digubal satu rang undang-undang baharu untuk menyelaraskan aspek-aspek pentadbiran dan pengurusan bagi universiti dan kolej universiti, namun aspek yang melibatkan pelajar dan mahasiswa tidak harus terkandung dalam undang-undang tersebut.

“Ini memandangkan undang-undang sedia ada, sama ada yang melibatkan polis dan sebagainya adalah terpakai,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet di sini.

Fahmi berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memaklumkan bahawa fokus utama pindaian atau RUU baharu itu kelak adalah untuk memperkemas urus tadbir IPT sebagai sebuah institusi.

“Jadi pihak Menteri Pendidikan Tinggi telah memaklumkan bahawa aspek yang perlu diuruskan melibatkan pentadbiran universiti dan kolej universiti sebagai institusi pendidikan tinggi.

“Jadi ini yang akan diberikan keutamaan dalam sebarang rang undang-undang yang menggantikan aspek-aspek tertentu yang terkandung waktu ini dalam AUKU,” jelasnya.

Keputusan itu dibuat susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung pemansuhan akta berkenaan sebelum ini di Kongres PKR 2026 di Melaka, minggu lalu.

BBerkaitan

Latest articles