KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengemukakan laporan terperinci dengan kadar segera berhubung insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, semalam.
APAD memaklumkan laporan tersebut akan menjadi asas kepada siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti sama ada berlaku sebarang pelanggaran syarat lesen, kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi yang ditetapkan.
Menurut agensi itu, kertas siasatan telah dibuka serta-merta selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagi memastikan insiden berkenaan disiasat secara menyeluruh dan bebas.
Fokus siasatan merangkumi aspek penyelenggaraan aset, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sistem keselamatan serta pengendalian tren.
APAD turut mengambil langkah segera dengan menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi menilai keadaan sebenar dan memantau tindakan yang dilaksanakan oleh pengendali. Pemeriksaan awal diketuai Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof bersama pegawai Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel, sebelum satu lagi pemeriksaan susulan diadakan pada petang semalam dengan penglibatan wakil Kementerian Pengangkutan.
Dalam kenyataannya, APAD menegaskan bahawa keselamatan penumpang, kebolehpercayaan operasi rel dan integriti sistem pengangkutan awam tidak boleh dipertaruhkan dalam apa jua keadaan.
Justeru, setiap aspek berkaitan insiden itu akan diteliti secara profesional dan telus sebelum sebarang keputusan diambil.
Agensi itu turut mengingatkan bahawa tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran syarat lesen pengendalian di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Selain itu, aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 akta sama juga akan disiasat, termasuk terhadap mana-mana individu yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel.
APAD berkata, kerjasama erat dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan akan diteruskan bagi memastikan keyakinan orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam rel kekal terpelihara.
Dalam kejadian pagi semalam, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin selepas berlaku kerosakan pada suis landasan.
Insiden itu menyebabkan gangguan jadual perkhidmatan, namun semua 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.










