MELAKA: Kerajaan akan menyalurkan tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada setiap kawasan Parlimen bagi menangani keperluan dan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan tambahan itu tidak akan disalurkan melalui Ahli Parlimen, sebaliknya dilaksanakan menerusi agensi berkaitan yang bertanggungjawab menyelesaikan isu rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
“Untuk setiap kawasan Parlimen, secara langsung kepada rakyat, saya umumkan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut memberi bayangan bahawa kerajaan bersedia meneliti cadangan meningkatkan kuota liter subsidi petrol RON95 dan bantuan diesel.
Menurut beliau, perkara itu akan dipertimbangkan sebelum kadar baharu diumumkan pada masa yang sesuai.
“Saya setuju dan saya akan umumkan kadar yang sepatutnya kemudian,” katanya.
Cadangan berkenaan sebelum ini dibawa Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mahu kuota liter subsidi RON95 ditambah.
Naib Presiden PKR, Roland Engan, turut mengesyorkan supaya bantuan diesel untuk Sabah dan Sarawak dipertingkatkan ketika menggulung perbahasan pada kongres berkenaan.
Sementara itu, Anwar mengakui masih terdapat kelemahan dalam urusan kerajaan yang memberi kesan kepada golongan usahawan, termasuk proses berkaitan e-Invoice.
Beliau berkata kerenah birokrasi yang menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu lama perlu segera ditangani, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Anwar berkata beliau sendiri sedang meneliti langkah untuk memudahkan pelaksanaan e-Invoice, selain mencari penyelesaian terhadap isu yang timbul berkaitan sektor e-dagang.
“Perkara pertama, kerenah birokrasi mesti diperbaiki. Saya akui kita boleh perbaiki,” katanya.
Isu membabitkan golongan muda, khususnya pekerja gig, turut menjadi antara perkara yang dibangkitkan sepanjang kongres.
Anwar berkata kerajaan sebelum ini sudah menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), namun mengakui mekanisme sedia ada masih belum sepenuhnya memenuhi tuntutan dan keperluan pekerja dalam sektor berkenaan.
“Kita sudah buat Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), tetapi nampaknya belum memenuhi tuntutan mereka,” katanya.










