PORT DICKSON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan kerajaan tidak mendedahkan laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) sebaik ia disiapkan tiga tahun lalu dibuat bagi mengelakkan pendeposit hilang keyakinan terhadap institusi berkenaan.
Menurut beliau, pendedahan laporan ketika itu dikhuatiri mencetuskan tindakan orang ramai mengeluarkan simpanan secara besar-besaran sehingga boleh menjejaskan kedudukan kewangan TH.
“Ramai mengkritik saya mengapa laporan itu tidak diterbitkan ketika itu. Jawapan saya mudah, jika ia didedahkan tiga tahun lalu, rakyat mungkin hilang keyakinan, mengeluarkan dana mereka dan TH sebagai sebuah institusi boleh lingkup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini, pada Jumaat.
Anwar berkata, keadaan TH ketika itu amat membimbangkan apabila institusi berkenaan menanggung kerugian melebihi RM10 bilion.
Bagaimanapun, katanya, keadaan kini jauh berbeza apabila TH kembali berada pada landasan yang lebih kukuh di bawah kepimpinan pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
“Sejak tiga tahun lalu, pengurusannya berubah. Tan Sri Rashid mempunyai rekod pengurusan yang cemerlang dan TH kini sudah mula bertapak semula,” katanya.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH bagi membolehkan orang ramai meneliti dakwaan berhubung penjualan aset strategik institusi itu pada masa lalu.
Semalam, pemimpin Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli, dilaporkan mempersoalkan kelewatan kerajaan mendedahkan laporan tersebut, dengan mendakwa ia sepatutnya didedahkan seawal 2023 sebaik sahaja siasatan selesai.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut mendakwa penangguhan berkenaan berpunca daripada sikap berhati-hati Perdana Menteri yang didakwa mahu menjaga hubungan dengan UMNO.










