Anwar Sifatkan GP F1 2026 Kenangan Bermakna

KUALA LUMPUR: Kembalinya perlumbaan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun menyaksikan Malaysia kembali menjadi tumpuan peminat sukan permotoran dunia menerusi penganjuran Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perlumbaan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu sebagai pengalaman cukup bermakna, khususnya buat peminat F1 dari seluruh dunia.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata aksi bertenaga dan persaingan sengit dipamerkan barisan pelumba serta pasukan menjadikan perlumbaan di Sepang kali ini berlangsung penuh debaran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pelumba dan pasukan yang memberikan persembahan terbaik sekali gus menghidupkan kembali kemeriahan sukan permotoran berprestij itu di Malaysia.

Anwar bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa turut menyempurnakan penyampaian trofi kepada pelumba dan pasukan yang berjaya meraih kemenangan.

Dalam hantaran sama, Anwar mengucapkan tahniah kepada Max Verstappen, Kimi Antonelli dan Lewis Hamilton serta pasukan Red Bull Racing atas kejayaan masing-masing dalam perlumbaan berkenaan.

Malaysia sebelum ini disahkan sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain 2026 pada Julai lalu hasil persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan kedua-dua negara.

Lebih menarik, kehadiran hujan yang membasahi litar sepanjang acara berlangsung tidak mematahkan semangat penonton apabila kawasan sekitar litar terus dibanjiri peminat.

BBerkaitan

Latest articles